RENEW ROADTAX & INSURANS MYEG

RENEW ROADTAX & INSURANS MYEG

Friday 24 June 2016

Tips Membeli Kereta Terpakai

Apabila  mahu membeli kereta melalui iklan yang disiarkan di akhbar, atau di mana-mana, kita sewajarnya menentukan penjual kereta itu tulen atau sebaliknya kerana ada penjual kereta terpakai menyiarkan iklan seolah-olah merekalah pemilik sebenar kereta berkenaan bagi menambah keyakinan pembeli bahawa mereka sebenarnya berurusan langsung dengan pemilik.

Ketika membuat panggilan telefon untuk bertanya mengenai kereta yang diiklankan itu, kita harus bijak supaya tidak terpedaya dengan orang yang menjawab panggilan. Seboleh-bolehnya tegas tetapi bukan kasar ketika bercakap.

Jika berasa sangsi, mungkin kerana pelbagai helah diberi, sebaiknya hentikan urus niaga itu, jangan membuang masa. Antara beberapa soalan yang wajar ditanya ketika perbincangan, sama ada dengan pemilik sebenar, ejennya atau peniaga kereta terpakai adalah:


Mengapa kereta itu hendak dijual?
Mungkin mustahil untuk mendapat jawapan ikhlas jika kereta yang hendak dijual itu bagaikan besi buruk tetapi jangan terpedaya dengan kereta yang kelihatan cantik dan menarik kerana mungkin ada sejarah hitam menyebabkan pemiliknya mahu menjual kereta itu.


Jawapan yang biasa diberi pemilik atau penjual adalah kerana mahu bertukar kepada kereta yang lebih besar dan selesa.

Ada juga yang mahu menjual kereta sedia ada bagi membeli kereta model terbaru di pasaran dan ada yang menjual kereta untuk berhijrah ke luar negara. Ini adalah antara alasan yang sering diberi pemilik kereta.

Namun, naluri kita sebagai manusia akan memberikan kita petanda sekiranya pemilik menjawab dengan suara yang gelisah dan gugup serta memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti memiliki terlalu banyak kereta atau secara sukarela mahu menjual kereta tanpa perlu ada sebarang alasan.


Bacaan kilometer pada odometer kereta
secara umumnya, jika bacaan kilometer kereta itu rendah, maka bertambah eloklah kereta itu kerana menunjukkan ia jarang digunakan. Biasanya sesebuah kereta mencatatkan purata 20,000 kilometer setahun.


Jika kereta yang hendak dibeli itu berusia dua tahun, tetapi sudah mencatatkan 100,000 kilometer atau lebih km, anda dinasihatkan mencari kereta lain.

Ada pemilik yang mahu menjual kereta walaupun baru dibeli tidak sampai setahun dan biasanya, kereta terbabit pernah mengalami kemalangan, sering rosak atau ada sejarah hitam tertentu. Jadi, berhati-hatilah kerana tidak semua benda baru dan murah itu sempurna.

Odometer atau meter penunjuk jumlah perjalanan sesebuah kereta boleh diubah suai supaya catatannya rendah walaupun jenis digital. Seboleh-bolehnya, selidik dengan pemilik dengan bertanyakan di mana mereka tinggal dan tempat bekerja serta kampung halaman, supaya mudah kita mengagak purata jumlah perjalanan.

Catatan penjagaan rekod servis penuh kereta itu
Walaupun kereta baru, ia tetap mengalami kehausan komponennya dan keadaan bertambah teruk jika jarang diservis.
Luaran sesebuah kereta mungkin nampak hebat dan menarik tetapi enjinnya teruk. Sehubungan dengan itu, rekod servis boleh memberi keyakinan kepada pembeli bahawa kereta berkenaan dijaga baik.


Keadaan kereta
Jika jawapan yang diberi kereta itu sangat bagus tetapi apabila hakikatnya kereta berkenaan tidak menggambarkan jawapan yang diberi, lupakan sahaja keinginan anda untuk membelinya, kecuali jika dijual murah dan anda sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi membaiki apa yang rosak.
Jika pemilik kereta itu tidak boleh menjawab berterus-terang, maka mereka mungkin akan menjawab soalan kita seterusnya secara ikhlas.


Pernahkah kereta itu terbabit kemalangan?
Sukar bagi pemilik untuk menyatakan keretanya pernah kemalangan dan kita juga bukan pakar mengesan kerosakan kereta. Jadi, jalan terbaik bawa bersama-sama mekanik untuk memeriksa kereta yang hendak dibeli.


Harga yang ditawarkan
Biasanya, pemilik menawarkan harga lebih tinggi berbanding harga pasaran kerana sedia maklum pembeli akan menawar menurunkan harga. Ketika inilah anda perlu bijak berunding bagi mendapatkan harga terbaik. Namun, berhati-hati jika harga yang ditawarkan murah dan bagaikan tidak masuk akal kerana mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta terbabit.

No comments:

Post a Comment