Apabila mahu membeli kereta melalui iklan yang disiarkan di akhbar,
atau di mana-mana, kita sewajarnya menentukan penjual kereta itu tulen
atau sebaliknya kerana ada penjual kereta terpakai menyiarkan iklan
seolah-olah merekalah pemilik sebenar kereta berkenaan bagi menambah
keyakinan pembeli bahawa mereka sebenarnya berurusan langsung dengan
pemilik.
Ketika membuat panggilan telefon untuk bertanya mengenai kereta yang
diiklankan itu, kita harus bijak supaya tidak terpedaya dengan orang
yang menjawab panggilan. Seboleh-bolehnya tegas tetapi bukan kasar
ketika bercakap.
Jika berasa sangsi, mungkin kerana pelbagai helah diberi, sebaiknya
hentikan urus niaga itu, jangan membuang masa. Antara beberapa soalan
yang wajar ditanya ketika perbincangan, sama ada dengan pemilik sebenar,
ejennya atau peniaga kereta terpakai adalah:
Mengapa kereta itu hendak dijual?
Mungkin mustahil untuk mendapat jawapan ikhlas jika kereta yang hendak
dijual itu bagaikan besi buruk tetapi jangan terpedaya dengan kereta
yang kelihatan cantik dan menarik kerana mungkin ada sejarah hitam
menyebabkan pemiliknya mahu menjual kereta itu.
Jawapan yang biasa diberi pemilik atau penjual adalah kerana mahu bertukar kepada kereta yang lebih besar dan selesa.
Ada juga yang mahu menjual kereta sedia ada bagi membeli kereta model
terbaru di pasaran dan ada yang menjual kereta untuk berhijrah ke luar
negara. Ini adalah antara alasan yang sering diberi pemilik kereta.
Namun, naluri kita sebagai manusia akan memberikan kita petanda
sekiranya pemilik menjawab dengan suara yang gelisah dan gugup serta
memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti memiliki terlalu
banyak kereta atau secara sukarela mahu menjual kereta tanpa perlu ada
sebarang alasan.
Bacaan kilometer pada odometer kereta
secara umumnya, jika bacaan kilometer kereta itu rendah, maka bertambah
eloklah kereta itu kerana menunjukkan ia jarang digunakan. Biasanya
sesebuah kereta mencatatkan purata 20,000 kilometer setahun.
Jika kereta yang hendak dibeli itu berusia dua tahun, tetapi sudah
mencatatkan 100,000 kilometer atau lebih km, anda dinasihatkan mencari
kereta lain.
Ada pemilik yang mahu menjual kereta walaupun baru dibeli tidak
sampai setahun dan biasanya, kereta terbabit pernah mengalami
kemalangan, sering rosak atau ada sejarah hitam tertentu. Jadi,
berhati-hatilah kerana tidak semua benda baru dan murah itu sempurna.
Odometer atau meter penunjuk jumlah perjalanan sesebuah kereta boleh
diubah suai supaya catatannya rendah walaupun jenis digital.
Seboleh-bolehnya, selidik dengan pemilik dengan bertanyakan di mana
mereka tinggal dan tempat bekerja serta kampung halaman, supaya mudah
kita mengagak purata jumlah perjalanan.
Catatan penjagaan rekod servis penuh kereta itu
Walaupun kereta baru, ia tetap mengalami kehausan komponennya dan keadaan bertambah teruk jika jarang diservis.
Luaran sesebuah kereta mungkin nampak hebat dan menarik tetapi enjinnya
teruk. Sehubungan dengan itu, rekod servis boleh memberi keyakinan
kepada pembeli bahawa kereta berkenaan dijaga baik.
Keadaan kereta
Jika jawapan yang diberi kereta itu sangat bagus tetapi apabila
hakikatnya kereta berkenaan tidak menggambarkan jawapan yang diberi,
lupakan sahaja keinginan anda untuk membelinya, kecuali jika dijual
murah dan anda sanggup mengeluarkan perbelanjaan bagi membaiki apa yang
rosak.
Jika pemilik kereta itu tidak boleh menjawab berterus-terang, maka
mereka mungkin akan menjawab soalan kita seterusnya secara ikhlas.
Pernahkah kereta itu terbabit kemalangan?
Sukar bagi pemilik untuk menyatakan keretanya pernah kemalangan dan kita
juga bukan pakar mengesan kerosakan kereta. Jadi, jalan terbaik bawa
bersama-sama mekanik untuk memeriksa kereta yang hendak dibeli.
Harga yang ditawarkan
Biasanya, pemilik menawarkan harga lebih tinggi berbanding harga pasaran
kerana sedia maklum pembeli akan menawar menurunkan harga. Ketika
inilah anda perlu bijak berunding bagi mendapatkan harga terbaik. Namun,
berhati-hati jika harga yang ditawarkan murah dan bagaikan tidak masuk
akal kerana mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta terbabit.
No comments:
Post a Comment